Friday, 19 August 2011


Madrasah Ramadan bukan sahaja semester terbaik untuk mendidik kita yang dewasa tetapi juga waktu yang sesuai untuk didikan anak-anak kita. Anak-anak sebagai pewaris dakwah boleh ditarbiyah dengan pelbagai agenda yang sesuai di bulan Ramadan yang bakal tiba ini.
Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Ar-Rabi’e binti Muawiz;
“Kami semua berpuasa dan kami juga melatih anak-anak kami berpuasa. Kami sediakan permainan daripada bulu untuk mereka. Apabila salah seorang dari mereka ingin makan, kami berikan mainan itu sehingga tiba waktu berbuka puasa”.
Anak-anak tidak diwajibkan berpuasa tetapi puasa itu sebagai latihan untuk menunaikan ibadah sepertimana perlaksanaan ibadah solah. Sabda Rasullullah yang bermaksud;
“Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika usia 7 tahun dan pukullah mereka jika enggan ketika usia mereka 10 tahun”.
Daripada pengalaman saya, ibadah puasa lebih senang disuruh dan ditunaikan oleh seseorang anak dibandingkan dengan ibadah solat yang memerlukan peringatan demi peringatan juga ajakan demi ajakan. Walaubagaimanapun, kemampuan setiap anak itu berbeza bergantung kepada tubuh fizikalnya juga kematangan sikapnya. Ada anak yang sudah boleh berpuasa walaupun baru berusia 5 atau 6 tahun tetapi ada yang lambat sikit kemampuannya. Walaubagaimanapun, setiap anak perlu dihargai dan diberi pujian atas usaha mereka untuk menunaikan suruhan Allah swt.
Masyarakat kita sangat biasa melakukan pelbagai persiapan untuk meraikan kedatangan bulan Syawal tetapi sedikit sekali yang meraikan kedatangan Ramadhan. Apakata kita melakukan sedikit perubahan dengan menyemarakkan kedatangan Ramadhan. Kita mungkin boleh mengajak anak-anak kita untuk menghias rumah, menukar langsir dan menceriakan suasana rumah sempena menyambut Ramadhan. Bagi yang berkemampuan, mungkin boleh mengajak anak-anak sama-sama memasak juadah yang berkhasiat tetapi ringkas dan boleh menjemput jiran atau sahabat-sahabat untuk sama-sama meraikan kedatangan Ramadhan. Anak-anak pasti terkesan dan ini dilakukan sebagai syiar ahli keluarga dan keprihatinan terhadap kedatangan ‘kekasih yang disayangi’.
Tips-tips yang lain akan dikongsikan dalam penulisan akan datang, insyaAllah.
Sumber: http://ismakedah.net/2011/07/anak-anak-kita-dan-ramadhan/

Sunday, 7 August 2011

Majlis Berbuka Puasa

Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Penduduk Taman Suasana Damai akan diadakan seperti maklumat berikut:

Tarikh    : 19 Ogos 2011 (Jumaat)
Tempat  :  No. 49 (Rumah Tuan Hj Shakirin Shaari)

Semua penduduk Taman Suasana Damai, Jitra dijemput hadir.

Monday, 1 August 2011

Ramadhan Kareem 1432H/2011M

Salam;

Ramadhan Kareem dan Selamat menjalankan Ibadah Puasa kepada semua penduduk Taman Suasana Damai, Jitra Kedah.

Semoga bulan Ramadhan yang penuh barakah ini akan dapat kita gunakan sebaiknya untuk melipat gandakan amal ibadah. Marilah kita mengambil kesempatan dalam bulan yang mulia ini untuk meningkatkan ukhuwwah antara kita dengan saling sapa menyapa sesama tetangga dan sama-sama kita berjamaah di surau Darulaman Height.




Boleh jadi langkah pertama untuk merubah diri yang kita lakukan dalam bulan ini akan membawa kepada perubahan yang besar dalam diri kita sebelum kita dipanggil untuk mengadap Allah swt.

wassalam

TSD